30 Tahun Mencari Rezeki Dengan Menjual Roti, Potret Penjual Roti Ini Dijadikan Lukisan Mural

Famous uncle nie. Jasamu tetap dikenang

Tidak disangka, kisah di mana seorang lelaki yang melukis pada tanah bersama sepupunya berpuluh tahun lalu masih lagi diingati oleh seorang penjual roti yang menaiki motosikal.

Pada ketika itu, lelaki tersebut yang masih lagi kanak-kanak melukis di bawah pokok manggis.

Semasa penjual roti yang lebih mesra disapa Munyadi itu datang, dia mengalihkan motosikalnya agar ia tidak menghalang kanak-kanak itu daripada terus melukis.

Menurut lelaki itu yang dikenali dengan nama akaun Facebook, Acit Raman Abdullah, Munyadi sangat dikenali oleh orang tempatan di sekitar Balik Pulau, Pulau Pinang.

Hal ini kerana Munyadi telah menjual roti selama 30 tahun di sana dan masih lagi beroperasi sehingga ke hari ini. Menurut Acit, rata-rata kanak-kanak seusianya mempunyai kenangan manis dengan Munyadi.

Oleh sebab itulah, potret Munyadi terpilih dan dirasakan paling sesuai untuk dilukis oleh Andhar A. Samah di lokasi kebiasaannya mencari rezeki.

Setelah 30 tahun, pekerjaan yang dijalankan oleh Munyadi Letchumanan akhirnya dihormati dan diiktiraf. Dengan lukisan mural ini, dia akan lebih dikenali oleh orang ramai, bukan warga tempatan sahaja malah para pelancong yang melawat Balik Pulau.

Walaupun hanya meniaga roti, Munyadi tidak pernah gagal untuk menyebarkan pemahaman serta pengetahuannya kepada orang lain. Tidak kira apa pun topik, pasti dia akan mempunyai buah fikiran tersendiri dan bersedia untuk berbincang.

Dia juga amat jujur dan tidak pernah berbohong. Tanpa ditanya, dia akan berkongsi apa sahaja termasuklah masalah keluarga.

Ternyata dia sentiasa percaya kepada kebenaran. Selain itu, dia sangat rajin dalam melakukan kerjanya sehinggakan tidak tahu erti bosan dan penat.

Dia akan bangun jam 8:30 pada setiap pagi dan mula menjual roti. Setelah jam 12 tengah hari, dia pulang menukar pakaian dan menuju ke ladang lembu.

Di sana, lembu-lembu yang diternak akan dimandikan, diberi makan termasuklah membina kandang tambahan sendiri. Sesudah jam 4 petang, dia pulang ke rumah dan berehat selama 30 minit sebelum keluar menjual roti lagi.

Dia hanya akan pulang ke rumah pada waktu malam – di saat cengkerik aktif berbunyi. Dalam seminggu, dia hanya cuti selama sehari dan cuti itu pun tidak akan disia-siakannya. Dia tidak akan berada di rumah, sebaliknya ke ladang lembu bagi melakukan kerja-kerja di sana.

Di samping itu, lelaki yang penuh dengan dedikasi dan kesungguhan ini akan memastikan setiap perkara direncanakan secara terperinci. Dia merancang secara teliti dan akan memberikan sepenuh perhatian dan fokus terhadap apa sahaja yang dilakukannya.

Hasilnya, dengan cara itu, dia mampu membina sendiri ladang lembu yang diusahakannya tanpa sebarang bantuan daripada orang lain.

Paling penting, Munyadi merupakan seorang yang sangat tabah. Walaupun berhadapan dengan laluan hidup yang sukar dan berliku-liku sejak usia muda, namun dia tidak pernah berputus asa dan menyerah kalah dalam mengharungi cabaran yang mendatang.

Menurut anak perempuannya yang menggunakan nama akaun Facebook, ML MV, bapanya itulah yang mengajarnya erti kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Segala pengorbanannya pada keluarga tidak pernah diungkit, apatah lagi meminta balasan. Dia meletakkan keluarga melebihi segalanya.

Lukisan mural ini merupakan hadiah terbaik pernah diberikan pada hari ulang tahun kelahirannya untuk tahun ini. Segala pengorbanan dan jerit perihnya dalam membesarkan anak-anak serta menampung kehidupan keluarga ternyata tidak mampu dibalas.

Semoga mural ini akan menginspirasikan orang ramai untuk mencontohi kerja keras dan kesungguhan Munyadi dalam menjalani kehidupan.

“Kami berada pada tahap ini berkat kegigihan bapa kami. Dialah identiti kami, bukanlah seorang doktor, peguam mahupun jurutera. Kami adalah anak-anak kepada Munyadi Letchumanan. Anak-anak Mamak Roti. Saya sangat bangga dengan appa. Selamat Hari Jadi yang ke-56, appa! Terima kasih kerana memilih saya sebagai anak!”, akhiri anak perempuannya.

Kredit kepada pelukis mural tersebut: Andhar A. Samah

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Sinar Viral Press

Sumber: Acit Raman Abdullah|Facebook , ML MV|Facebook via EraBaru

 

Be the first to comment on "30 Tahun Mencari Rezeki Dengan Menjual Roti, Potret Penjual Roti Ini Dijadikan Lukisan Mural"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*