Peminat Yang Jodohkan Kami – Siti Nordiana Dan Khai Bahar Tidak Menolak Andai Mereka Disatukan

Tahniah buat Nana dan Khai Bahar, ni semua sebab doa peminat 😊

Penyanyi wanita popular, Siti Nordiana Alias, 35, atau Nana menjelaskan, selagi dia dan Khai Bahar, 25, masih belum berkahwin, selagi itu peminat akan berusaha menjodohkan mereka berdua.

Nana ketika ditemui berkata, jodoh dimaksudkan tidak semestinya bergelar pasangan suami isteri, tetapi menjurus kepada pasangan kolaborasi dalam menyanyikan lagu duet.

“Peminat mungkin sedia maklum, kehadiran Khai dalam industri muzik tanah air bermula daripada aplikasi Smule dan pernah berduet dengan saya.

“Malah, sebelum bergelar artis, menurut Khai, dia adalah peminat saya. Jadi, tidak mustahil kami berkongsi sekumpulan peminat yang sama, sekali gus ingin melihat saya dan dia digandingkan sebagai duet,” jelasnya.

Anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu berkata demikian usai melancarkan lagu duet pertama mereka, Satukan Rasa di sebuah hotel di ibu negara semalam.

Tambah Khai, bagaikan tidak percaya, hasratnya untuk berduet dengan Nana dapat ditunaikan sementelah hampir tiga tahun bergelar penyanyi.

“Projek duet sudah lama direncanakan sejak saya melangkah masuk dalam industri pada 2016. Namun atas sebab-sebab tertentu, baru hari ini rancangan tersebut dapat direalisasikan,” ujar Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin.

Apapun, Khai bersyukur kerana penangguhan sekian lama mendatangkan seribu satu hikmah terhadap karier nyanyiannya dan juga Nana.

“Penangguhan yang dilakukan adalah demi kebaikan kerjaya seni kami berdua. Dalam tempoh tiga tahun tersebut, pelbagai kejayaan telah dicapai.

“Jadi, kini adalah masa terbaik untuk lagu ciptaan kami berdua ini diperdengarkan kepada umum,” kata Khai sambil memaklumkan bahawa mereka menggunakan nama pena Kanda dan Dinda selaku komposer, manakala lirik ditulis oleh Iman Imran. – MHE TV

 

Sumber: MHE TV via SL via sinarviral

 

Be the first to comment on "Peminat Yang Jodohkan Kami – Siti Nordiana Dan Khai Bahar Tidak Menolak Andai Mereka Disatukan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*