Kuasa Istimewa Yang Ada Pada Solat Subuh Namun Sayangnya Ramai Melepaskan Keistimewaan Ini

Kuasa Istimewa Yang Ada Pada Solat Subuh Namun Sayangnya Ramai Melepaskan Keistimewaan Ini

KEMENANGAN pertama seorang Muslim melawan godaan syaitan adalah ketika dia bangkit daripada tidur untuk menunaikan solat subuh, sama ada berjemaah atau bersendirian.

Ini kerana solat subuh adalah ritual agama Islam yang paling kerap ditinggalkan atas pelbagai sebab. Antara yang popular adalah lewat bangkit dari tidur dan memenuhi desakan urusan berkaitan kerjaya.

Namun begitu, bagi Pengasas Institut Bayyinah, Amerika Syarikat, Nouman Ali Khan, solat subuh sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Ramai yang tidak menyedari perkara itu walaupun keistimewaan tersebut ada disebut dalam al-Quran,” kata pendakwah warga Amerika Syarikat dalam satu siri ceramahnya yang dipetik daripada laman web LoveAllah328, baru-baru ini.

Ikuti temubual dengan beliau:

Boleh saudara terangkan surah berkenaannya?

Nouman – Ada mesej yang baik tentangnya daripada surah al-Isra’ ayat 78, bermaksud:

“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).”

Dalam surah itu, Allah SWT menyuruh kita mendirikan solat. Tetapi, Allah SWT menyebut secara khusus tentang solat subuh berbanding dengan solat fardu yang lain. Ia seolah-olah menunjukkan sesuatu yang istimewa tentang solat itu.

Apakah keistimewaan itu?

Nouman – Pada akhir ayat tersebut, Allah SWT menyatakan bahawa ia disaksikan (mashood). Jadi, apa yang kita lakukan pada waktu itu iaitu bersolat, baca al-Quran dan lain amalan sunat akan disaksikan.

Persoalannya, siapakah yang menyaksikannya? Sedangkan pada waktu itu, semua orang sedang tidur. Sesiapa yang bersolat pada waktu itu pun, tidak ada orang yang melihatnya.

Siapa yang menyaksikan?

Nouman – Biasanya, mashood itu berlaku pada tengah hari dan tempat popular tetapi masjid bukan tempat popular, lebih-lebih lagi pada waktu solat Subuh.

Tetapi dalam ayat itu, Allah SWT menyatakan “…sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat).” Bermakna, ia bukan disaksikan oleh manusia di sekeliling kita tetapi oleh malaikat yang mencatatkan amalan kebaikan.

Lebih penting lagi oleh Allah SWT yang melihat hamba-Nya datang sujud kepada-Nya. Hamba-Nya itu meninggalkan kenikmatan tidur dan urusan dunia lain. Saya sering kali menasihati diri sendiri supaya menjadikan amalan tidur lebih awal sebagai rutin harian.

Mudahkah amalan tidur lebih awal ?

Nouman – Ia sesuatu yang mudah untuk diucapkan tetapi sukar diamalkan. Kita sering ada banyak urusan dunia yang perlu dilakukan.

Urusan dunia itu menjadi lebih banyak menjelang petang. Ini ditambah pula, waktu itu syaitan cukup aktif menggoda manusia dengan kenikmatan dunia.

Urusan dunia itu menyebabkan kita tidur lambat, maka secara asasnya, solat subuh bukan lagi termasuk dalam senarai urusan penting kita.

Kita mungkin solat subuh tetapi dalam keadaan tidak khusyuk, walaupun kita bangun apabila terdengar azan.

Apa yang perlu dilakukan?

Nouman – Jadikan amalan tidur awal sebagai satu rutin harian. Ini kerana, kita akan mampu bangun lebih awal. Kita juga boleh baca al-Quran sebelum azan subuh. Saya percaya, anda akan dapat manfaat dari sudut kerohanian pada masa itu juga.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Sinar Viral Press

Be the first to comment on "Kuasa Istimewa Yang Ada Pada Solat Subuh Namun Sayangnya Ramai Melepaskan Keistimewaan Ini"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*